Sunday, 8 February 2015

PEMBANGUNAN MASYARAKAT MOBILITI SOSIAL DALAM SULALATUS SALATIN



PEMBANGUNAN MASYARAKAT
MOBILITI SOSIAL
Konsep mobiliti sosial merujuk kepada proses di mana seseorang individu berubah atau bergerak daripada satu kedudukan kepada kedudukan yang lain dalam sesebuah masyarakat.
Takrifan  Mobiliti Sosial:
“Konsep mobiliti sosial merujuk kepada proses seseorang watak/individu berubah atau bergerak posisi atau kedudukan mereka daripada satu tahap ke tahap yang lain sama ada secara menurun atau menaik dalam sesebuah masyarakat. Perubahan kedudukan dalam masyarakat ini boleh jadi berlaku disebabkan oleh perubahan dari segi pendidikan, pangkat, kekayaan, perubahan status hubungan kekeluargaan, penglibatan dalam politik, kegiatan bermoral dan tidak bermoral, kesalahan jenayah dan sebagainya. Individu atau watak yang tidak mengalami sebarang perubahan statusnya dalam masyarakat kerana tiada kontak dengan faktor-faktor perubahan sosial itu tadi dianggap tiada anjakan dari segi mobiliti sosialnya dan dianggap mengalami mobiliti sosial yang mendatar atau statik.”
                                                  
PERBINCANGAN ASPEK MOBILITI SOSIAL DALAM SULALATUS SALATIN (SEJARAH MELAYU)

Teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) banyak merakamkan perubahan status sosial yang dialami oleh watak-watak penting dalam karya sastera sejarah ini. Perubahan status sosial ini melibatkan kelompok Raja dan kerabatnya, pembesar-pembesar utama negara, kelompok agama, golongan rakyat biasa dan hamba. Perubahan status sosial dan  taraf dalam masyarakat pada zaman pemerintahan Kesultanan Awal Melayu seperti Kerajaan Melayu Palembang, Bentan,  Temasik/Singapura dan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan oleh faktor perkahwinan, penghormatan, jasa dan bakti terhadap Sultan/Pemerintah, kebolehan istimewa, kekayaan, peperangan, korban penyelesaian konflik, dan faktor suaka politik (perlindungan politik). Sumbangan watak dalam  kontak sosial, ekonomi, politik, dan agama akan  menyebabkan berlakunya perubahan status menegak  kepada watak-watak atau individu yang terlibat. Kesannya individu itu akan dipandang mulia dan hormat oleh sultan dan pemerintah luar, masyarakat setempat dan sebagainya.
Demang Lebar Daun adalah Pembesaratau Pemerintah Kerajaan Palembang dan Wan Seri Beni iaitu Puteri Raja Bintan memberi laluan kepada Seri teri Buana atau Nila Utama untuk menjadi Raja di dua kerajaan itu sebagai penghormatan bahawa Seri Teri Buana berketurunan Nabi Adam, Iskandar Zulkarnain dan Raja kerajaan besar dari Benua Keling iaitu salasilah daripada Anak Raja Suran. Berlaku penurunan status sosial ke atas kedua-dua pemimpin utama ini setelah kerajaan itu diserahkan kepada Seri Teri Buana atau Nila Utama atas rasa hormat terhadap ketokohannya dan perasaan belas kasihan kerana Seri Teri Buana tiada kerajaan yang besar seperti saudara kandungnya Nila Pahlawan (Raja Daerah Minangkabau) dan Krisyna Pandita (Kerajaan Tanjung Pura). Mobiliti sosial menurun ini berlaku ke atas Demang Lebar Daun kerana pada ketika itu Kerajaan Palembang belum mempunyai seorang Raja. Beliau adalah selaku Demang (pemerintah bertaraf pembesar) mahu supaya Palembang setara dengan kerajaan lain seperti Minangkabau dan Tanjung Pura yang telah mempunyai Raja iaitu setelah Nila Pahlawan dan Krisyna Pandita iaitu saudara/adik beradik kepada Nila Utama. Demang Lebar Daun daripada menjadi pemerintah utama Palembang (bertaraf Raja) kemudiannya menurunkan tarafnya menjadi pembesar mewakili rakyat Palembang bertaat setia kepada Seri Teri Buana.
Wan Seri Beni iaitu Puteri Raja Bintan telah menyerahkan takhta dan kerajaannya setelah menjadikan Seri Teri Buana sebagai anak angkatnya. Beliau sanggup turun takhta menjadi ibu angkat kepada Seri Teri Buana kerana menyedari dia seorang perempaun yang telah berusia dan percaya kebolehan Seri Teri Buana memimpin kerajaannya. Mobiliti sosial menurun ini jelas berlaku ke atas Wan Seri Beni dan dia bertindak sebagai penasihat kepada Seri Teri Buana sehinggalah Seri Teri Buana  membuka kerajaan baharu iaitu Kerajaan Temasik /Singapura. Seri Teri Buana menjadi lebih yakin membuka dan mengasaskan kerajaan yang lebih besar iaitu Singapura setelah mendapat dokongan kedua-dua pemerintah iaitu Demang Lebar Daun dan Wan Seri Beni. Segala kekuatan sokongan rakyat dan hasil kemakmuran Palembang dan Bintan digunakan untuk membuka kerajaan baru iaitu Kerajaan Singapura.
Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak Raja iaitu kakak Tun Perak telah mengalami penurunan darjat/status daripada bertaraf permaisuri Sultan Muzaffar Shah(Raja Kassim) menjadi isteri pembesar Melaka (isteri kepada Seri Nara Diraja) bagi mengelakkan konflik antara pembesar utama negeri iaitu Seri Nara Diraja dengan Tun Perak. Tun Kudu  merupakan anak bekas bendahara Melaka iaitu Bendahara Sri Wak Raja yang telah membunuh diri kerana salah sangka bahawa Sultan Muhammad Syah iaitu bapa Sultan Muzaffar Shah enggan menerima permintaan mengadap baginda. Tun Kudu menjadi isteri dan menjadi Permaisuri Sultan Muzaffar Shah. Dia terkenal dengan kecantikannya tetapi agak juling sedikit. Dia ditalakkan oleh Sultan bagi menyelesaikan pergeseran antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar Shah dan Tun Kudu terpaksa berkorban demi menyelamatkan pergeseran antara kedua tokoh pembesar utama Melaka ini. Seri Nara Diraja  berkenan dengan Tun Kudu walaupun disindir oleh pengikutnya yang mengatakan bahawa Seri Nara Diraja telah tua dan tidak berupaya memperoleh zuriat. Kesan daripada perkahwinan tersebut hubungan kedua-dua pembesar menjadi akrab. Kerajaan Melaka menjadi bertambah kukuh dan kuat untuk berhadapan dengan serangan Siam.
Sultan Maliku’t Tahir iaitu Raja Pasai dan Maharaja Dewa Sura iaitu Raja Indera Puratarafnya sebagai pemerintah atau Raja diturunkan setelah menjadi tawanan perang. Sultan Maliku’t Tahir ditawan oleh Raja Shahrun Nuwi dari Siam, diculik dan dibawa lari ke Siam dan disuruh menjadi gembala ayam Raja. Maharaja Dewa Sura pula ditawan oleh Seri Bija Diraja iaitu Panglima Melaka pada  Zaman Sultan Muzaffar Shah dan dibawa ke Melaka menjadi gembala gajah Raja. Sultan Malikut’t Tahir iaitu Raja Pasai, putera sulung Sultan Maliku’l Salleh telah ditipu dan diculik oleh Awi Dicu iaitu hulubalang Siam bersama-sama 4000 tenteranya dan dititahkan membawa hidup-hidup Sultan Maliku’t Tahir ke Siam kerana cemburu akan kehebatan Pasai yang menjadi tumpuan dagang dan santri. Sultan Maliku’t Tahir disuruh mengembala ayam Raja. Jelaslah penghinaan yang diterima oleh Raja Pasai yang dihinakan menjadi gembala ayam seolah-olah bertaraf hamba abdi. Baginda kemudiannya diselamatkan oleh pembesarnya iaitu Sidi Ali Ghiatuddin  yang berjaya menyamar menjadi saudagar Arab dan mengenakan tipu helahnya untuk membawa pulang Raja Pasai itu.
 Maharaja Dewa Sura, pemerintah Indera Pura ditawan oleh Seri Bija Diraja dan dibawa pulang ke Melaka sebagai tawanan perang. Semasa di Melaka beliau dijaga dengan baik oleh Bendahara Tun Perak dan disuruh menjadi pengembala gajah Raja kerana kemahirannya tinggi ilmu menjinakkan gajah. Berlaku penurunan darjat apabila beliau menjadi tawanan perang dan menetap di Melaka. Walaupun beliau kekal sebagai kerabat Raja dan diberi layanan bertaraf rakyat biasa, keturunannya selepas itu menjadi pembesar Melaka yang mahir mengenai hal ehwal menjinakkan gajah Raja dan jawatan itu dimonopoli oleh keturunannya. Maharaja Dewa Sura turun taraf sebagai rakyat biasa di Melaka setelah hilang kekuasaan kerajaannya di Indera Pura. Beliau terus menetap di Melaka dan keturunannya sehingga ke zaman Sultan Mahmud diberi penghormatan menjaga, mengembala dan menjinakkan gajah Raja.  Waris keturunanannya juga berjaya menaikkan nama Raja Melaka atas kemahiran tinggi menjinakkan gajah ini.
Sultan Abdul Jamal iaitu Pemerintah Pahang dan sepupu Sultan Mahmud Shah menurunkan darjatnya sebagai Sultan Pahang  dan memencilkan diri (beruzlah) di Lubuk Pelang. Baginda telah  menyerahkan takhtanya kepada anakandanya Raja Masur/Sultan Mansur Syah sebagai pemerintah Pahang dan sebaliknya beliau “membuang diri” ke Lubuk Pelang untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.
Sultan Abdul Jamal dimalukan oleh Sultan Mahmud iaitu sepupunya sendiri yang menjadi Raja Melaka kerana Tun Teja anak Bendahara Pahang yang bakal menjadi permaisuri keduanya telah dilarikan oleh Hang Nadim ke Melaka. Keduanya, gajah kesayangannya iaitu  “Ai Kening” dilarikan oleh Laksamana ke Melaka gara-gara mulutnya celupar hendak melanggar Melaka dengan gajah kesayangannya itu. Akhirnya Sultan Mahmud membuat tawaran kepada hulubalang dan perajurit Melaka agar membawa pulang “Ai Kening” hidup-hidup ke Melaka. Sultan Abdul Jalil rasa terhina dan malu lalu baginda membuat keputusan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anaknya Sultan Mansur Shah dan baginda telah  “membuang diri” sebagai seorang “abid/syeikh” di Lubuk Pelang. Kesannya, Pahang sebagai naungan Melaka kemudiannya mengurangkan pergantungannya ke Melaka dan seolah-olah memutuskan hubungan diplomatik dengan Melaka. Buktinya selepas Sultan Mahmud dikalahkan oleh Peringgi, beliau tidak meminta bantuan daripada Pahang dan tidak menjadikan Pahang sebagai destinasi “ kerajaan Melaka dalam buangan”. Sebaliknya memilih Siak dan Kopak sebagai benteng terakhir bertempur dengan Peringgi (Portugis) dan akhirnya melarikan diri ke Johor dan menubuhkan Kerajaan Melayu Johor.

Sulta Maliku’l Mansur (Pemerintah Semundera) ditangkap oleh abangnya Sultan Malikul Tahir (Pemerintah Pasai), dijadikan tawanan dan dipenjarakan di Manjung.  Sultan Maliku’l Mansur telah membawa pulang dayang istana abangnya di Pasai. Ketika dia mengunjungi abangnnya di Pasai, Sultan Maliku’l Tahir tiada di istana tetapi dia telah melakukan “khilaf”/kesilapan membawa pulang seorang dayang istana tanpa izin daripada saudaranya itu. Akhirnya seorang pembesar Pasai telah membuat fitnah sehingga menyebabkan Sultan Maliku’t Tahir murka dan membunuh pembesar (memenggal kepala dan kepala disula di hadapan perahu) dan menangkap adiknya dan dipenjarakan di Manjung ( Perak). Peristiwa pathos berlaku ke atas Sultan Maliku’l Mansur apabila abangnya insaf dan mahukan adiknya dibawa pulang ke Semundera, Sultan Maliku’l Mansur telah mangkat di atas kubur Sidi Asma Yaumuddin, di Padang Maya. Sultan Maliku’t Tahir begitu menyesali perbuatannya dan memberi wasiat kepada anaknya  dan pembesar-pembesar sewaktu dia nazak agar tidak mengikut jejak kesilapannya.
Sultan Mahmud Shah kehilangan takhta dan menjadi “Sultan dalam buangan” setelah Melaka dialahkan dan gagal bertahan di Kampar, Siak dan Kopak dan Bintan. Beliau juga “membuang diri” ke hulu Melaka setelah menyesali perbuatannya membunuh Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya dan Tun Fatimah (permaisurinya) terpaksa menuntut bela atas kematian suami, saudara kandung dan kaum keluarganya. Sultan Mahmud menjadi Sultan yang tidak mempunyai kerajaan setelah Melaka dikalahkan oleh Ferenggi. Baginda  gagal bertahan di Kampar, Siak, Kopak dan Bintan. Akhirnya terpaksa menyeberang ke Johor dan menubuhkan Kerajaan Melayu Johor. Baginda dan kaum kerabatnya juga dihinakan kerana tiada pembesar yang berlumba-lumba memenuhi keinginan Sultan Mahmud untuk mencari nasi kerana baginda kelaparan, kecuali Seri Diraja mengarahkan Sri Wak Raja yang terpaksa mencuri nasi dari periku belanga orang Gunung yang sedang bertanak dan membakar ikan. Keadaan ini seolah-olah beliau terpaksa mengemis meminta makanan daripada orang ketika berada di Kopak. Sultan Mahmud memencilkan dirinya dan tidak menghiraukan hal ehwal istana setelah berasa sedih dan sesal akan kesilapannya membunuh Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan seluruh kaum kerabatnya. Dia “membuang diri” ke hulu Melaka sehinggalah Peringgi menyerang Melaka. Kesannya, Sultan Mahmud bertaraf Sultan dalam buangan dan Kerajaan Melaka menjadi lemah setelah kematian Bendahara Seri Maharaja dan dikalahkan oleh Peringgi dan wujubnya kerajaan Melayu Johor.

Hang Tuah dilucutkan jawatan Laksamana dan dititahkan dibunuh kerana derhaka kepada Raja. Laksamana Hang Tuah dilucutkan jawatan menjadi pesalah dan penderhaka kerana difitnah bermukah dengan dayang istana yang tinggal di luar istana. Seri Nara Diraja tidak jadi membunuhnya kerana memikirkan Hang Tuah ada guna untuk masa hadapan. Beliau hanya disembunyikan dan dipasung oleh Seri Nara Diraja di dusunnya di hulu Melaka. Hang Tuah akhirnya mendapatkan kembali jawatannya setelah berjaya membunuh Hang jebat yang menderhaka kepada Raja Melaka.Huru hara berlaku kerana Hang jebat membela atas kematian Hang Tuah. Hang jebat menguasai istana dan akhirnya Hang Tuah muncul untuk membersihkan contengan arang di muka baginda Sultan.
 Badang menjadi Panglima Singapura  dan Pembesar Utama Negeri dengan gelaran “Orang Kaya Sayung” setelah banyak kali mengharumkan nama Raja Singapura. Beliau asalnya adalah bertaraf hamba sahaya tetapi kemudiannya menjadi gagah perkasa kerana memakan muntahan hantu. Asalnya Badang adalah hamba dan mengerjakan ladang majikannya. Kemudian mendapat kekuatan luar biasa setelah menangkap hantu yang memakan ikan dalam lukahnya. Akhirnya hantu minta dilepaskan dan Badang meminta untuk menjadi kuat – hantu menuruh Badang makan muntahannya. Badang telah mengalahkan hulubalang dari Benua Keling – Nadi Bijaya Niakra dalam pertarungan beradu kekuatan. 7 isi kapal menjadi kepunyaan Raja Singapura. Badang juga beradu kekuatan dengan Benderang, hulubalang Perlak. Kesannya Singapura menjadi terkenal dan makmur kerana kemahsyuran kekuatan Badang. Hubungan Singapura dengan Perlak juga bertambah erat kerana tindakan Badang yang tidak mahu memalukan Raja Perlak sekiranya Benderang tewas.

Tun Perak diangkat menjadi pembesar utama Melaka di zaman Sultan Muzaffar Shah dengan gelaran Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Kebijaksanaan Tun Perak dalam kepimpinan dan kebijaksanaannya dalam tipu daya muslihatnya telah mematahkan serangan Siam. Pada awalnya Tun Perak anak Bendahara Seri Wak Raja menjadi penghulu Kelang dan telah menjadi Bendahara Melaka atas sifat kepimpinan dan kebijaksanaannya memimpin rakyat Melaka mematahkan serangan Siam. Beliau telah dilantik dengan gelaran tertinggi kerajaan dengan gelaran Bendahara Paduka Raja Tun Perak  atas sifat istimewanya dari segi bakat kepimpinan. Pelantikannya sebagai Bendahara Paduka Raja telah menjadikan Melaka sebuah kerajaan yang tersohor kerana kepimpinan Tun Perak dengan dibantu oleh pembesar yang lain. Tun Perak terkenal dengan kebijaksanaan akalnya, ilmunya, akhlaknya, kesetiaannya dan pandangan jauhnya atas sesuatu isu.

Watak Hang Nadim masuk dalam kelompok diraja kerana berkahwin dengan puteri Raja Kelantan iaitu “Cau Pauk”  setelah beliau begitu berjasa kepada Sultan Mahmud setelah berjaya melarikan dan membawa pulang Tun Teja anak bendahara Pahang ke Melaka. Hang Nadim ingin mengambil hati Sultan Mahmud yang murka ke atasnya apabila hanya berjaya membawa pulang 4 gulung kayu kain kasa yang diminta oleh Sultan Mahmud ketika dia dan Hang Isap dititahkan ke Benua Keling untuk membeli kain yang diminta itu. Beliau telah dimurkai oleh Sultan kerana gagal dalam misinya itu dan difitnah oleh Hang Isap. Tindakan melarikan Tun Teja tanpa dititahkan oleh Sultan Mahmud dengan tujuan untuk mengambil hati semula Sultan Mahmud dan menebus dosanya ketika di Benua Keling dan Ceylon. Sultan begitu gembira kerana Hang Nadim berjaya membawa Tun Teja ke Melaka dan dijadikan Permaisuri Utama kerana baginda baharu kematian permaisurinya. Hang Nadim diberi anugerah istimewa anak Raja Kelantan itu setelah mendengar pengakuan Tun Teja sendiri bahawa Hang Nadim tinggi budi pekertinya. Sultan tidak murka lagi kepada Hang Nadim. Hang Nadim mendapat anugerah istimewa iaitu diberikan puteri Raja Kelantan “Cau Pauk” untuk dijadikan isteri.

PERBINCANGAN ASPEK PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM SBDKL



PERBINCANGAN ASPEK PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM SBDKL

Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Melayu desa sekitar dekad 70-an dan awal 80-an yang kurang berpendidikan, ekonomi yang tertinggal, politik yang membawa perpecahan dan kehidupan beragama serta penyebaran dakwah. Novel ini membincangkan aspek pembangunan modal insan yang akan dinikmati oleh masyarakat dan negara. Sebelum analisis dilakukan ke atas novel ini, elok diperjelaskan maksud modal insan itu daripada perspektif Islam, budaya Melayu dan pandangan Barat . Modal insan yang baik, insan yang bertaqwa yang mengikut ajaran dan perintahNya serta meninggalkan segala yang ditegah dan insan yang mempunyai hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama, ketuturunan dan warna kulit.

Gambaran kehidupan bangsa Melayu yang kaya dengan tatacara hidup digambarkan melalui puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, perbilangan dan sebagainya dijadikan pegangan hidup kerana ajaran tersebut tidak bertentangan dengan Islam. Gurindam 12 karya Raja Ali Haji ( Abu Hassan Sham, 1993) menunjukkan pentingnya agama, budi bahasa dan ilmu pengetahuan dan daya intelektual yang tinggi dan bijaksana bagi membangun modal insan. Pemikiran Gurindam 12 Raja Ali Haji menjelaskan ciri-ciri seorang insan yang ingin maju dan pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggung jawab terhadap agama dan nilai budi bahasa.

Menurut pandangan sarjana Barat yang dianjurkan oleh Gary S. Becker (2006), beliau menjelaskan menjelaskan secara umum bahawa menanam modal dengan memberikan pendidikan sempurna dan latihan kepada seseorang merupakan hal yang penting untuk membangunkan modal insan yang berpengetahuan, mempunyai skil yang baik dalam bidang-bidang tertentu serta mempastikan kesihatan yang sempurna. Dengan memiliki skil yang baik dan kesihatan fizikal dan minda yang sempurna seseorang itu akan dapat berusaha meninggikan taraf hidupnya serta menyumbang kepada masyarakat dan negara. Seandainya insan begini dapat dihasilkan, seseorang itu lebih yakin dengan dirinya. Dia boleh diangkat menjadi pemimpin, pekerja atau apa sahaja bidang kerjaya yang baik kerana memiliki ciri orang yang bertaqwa, baik, jujur, berpengetahuan luas, bekerja kuat dan boleh menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat majmuk di negara ini dan juga masyarakat antarabangsa. Pembangunan dan penghasilan modal insan itu harus dibina dengan sempurna yang berupaya mencapai kehidupan dunia dan akhirat.



PEMBANGUNAN INSAN : JATI DIRI

ENCIK MUHAMMAD BIN IDRIS.
Latar belakang
Beliau merupakan keturunan orang besar wilayah Sungai Tualang dan  pekan wilayah itu bernama Pekan Tualang. Ayah Encik Muhammad bergelar Orangkaya Indera Datuk Idris bin Muhammad Saman. Sementara datuknya Orangkaya Indera Datuk Muhammad Saman bin Bendahara Muda adalah orang kaya yang mempunyai kawasan lombong timah di wilayah tersebut yang berkongsi dengan tauke Cina. Sebagai anak orang besar beliau mempunyai pelajaran tinggi kerana dihantar oleh keluarganya belajar di England. Sekembalinya ke tanah air dia bekerja dengan sebuah syarikat dagang orang Inggeris di Kuala Lumpur.  Hubungan persahabatan antara Keluarga Datuk  Tan Cong Seng  dengan keluarga Encik Muhammad sejak lama dahulu, Datuk Tan memberi kepercayaan kepada Encik Muhammad dilantik mengetuai salah sebuah anak syarikat di bawah Tan Enterprise. Beliau menubuhkan syarikatnya sendiri  iaitu Firma Serba Dagang Internasional dan bekerjasama dengan Datuk Tan.

NILAI JATI DIRI : KEBIJAKSANAAN ENCIK MUHAMMAD
Encik Muhammad adalah watak utama dalam novel ini. Tokoh perniagaan Melayu yang berjaya. Syarikat beliau beroperasi di Kuala Lumpur mempunyai matlamat iaitu untuk membangunkan kampung asalnya iaitu dengan membuka lombong bijih timah untuk merubah nasib masyarakat kampung. Sebagai usahawan yang kebijaksanaan, Encik Muhammad bersetuju menjual tanah tersebut dengan harga yang dijamin tinggi. Perancangan yang rapi dan mengambil kira aspek kemanusiaan dilaksanakan oleh Encik Muhammad. Beliau tidak bertindak menghalau penduduk kampung Pulai sebaliknya mereka semua akan diberi tanah dan ditempatkan di tanah FELDA yang lebih luas dan dapat memberikan hasil yang lumayan.

NILAI JATI DIRI : ELOK PERIBADI ENCIK MUHAMMAD
Encik Muhammad seorang tokoh perniagaan yang warak. Walaupun beliau seorang tokoh usahawan berjaya beliau tidak melupakan tanggungjawabnya kepada Allah. Petikan di bawah menjelaskan sifatnya;
Encik Muhammad bin Idris duduk tafakur di atas sejadah, berzikir dan berdoa. Dia baru selesai sembahyang sunat syukur dan sunnat tahajjud. Dia mencuba sedaya upaya mengheningkan cipta, mengosongkan hati nubarinya dari segala was-was dan khannas, menyerah seikhlas-ikhlasnya kepada Allah subhanahu wa taala. Dia mohon petunjuk dan hidayat, mohon taufik dan bimbingan untuk kejayaan usahanya mengendalikan syarikat yang baru ditubuhkan. (hal. 113).( Lihat juga hal. 260).

Encik Muhammad tunduk dengan permintaan  Lebai Maarup, iaitu tanah kepunyaan Lebai Maarup yang seluas dua ekar diwakafkan untuk dijadikan tapak kompleks Syarikat Lombong Lembah Tualang. sebuah surau akan didirikan untuk kegunaan para pekerja lombong. Tindakan Encik Muhammad Ini memperlihatkan beliau seorang saudagar yang pertimbangan keagamaan. Sesuatu benda yang diwakafkan akan digunakan untuk tujuan kebaikan bersama dan tidak wajar semua tanah dijadikan lombong. Kesannya, kehidupan Encik Muhammad menjadi tokoh usahawan Melayu yang berjaya dan mempunyai keluarga dan rumahtangga yang aman dan damai.
Kesimpulannya, watak Encik Muhammad adalah seorang modal insan memiliki kekayaan, pengetahuan tinggi dalam perniagaan, kuat berpegang kepada agama, menjadi pemimpin yang baik kepada pekerja bawahannya dan kepada keluarga, seorang modal insan wajar dicontohi oleh generasi muda.


YANG BERHORMAT MUHD YUSUF.
Latar belakang
YB Muhd Yusuf seorang wakil rakyat di Wilayah Sungai Tualang, Kampung Kuala, kampung Pulai dan beberapa buah kampung lagi. Pejabat tempat beliau beroperasi di Pekan Tualang.
NILAI JATI DIRI : SIKAP DEDIKASI YANG BERHORMAT MUHD YUSUF.
            Beliau mengambil berat tentang kemiskinan hidup masyarakat desa terutama kepada mereka yang tidak mempunyai tanah dan mendirikan rumah menumpang di tanah kepunyaan orang-orang yang simpati dengan mereka. Beliau telah bekerjasama dengan Tauke Chan di tempat itu untuk mendirikan projek perumahan kerajaan untuk diberikan kepada orang Melayu miskin yang tidak mempunyai rumah tetapi YB Muhd Yusuf tidak setuju dengan permintaan Tauke Chan untuk mendirikan rumah sambung dua tingkat untuk dijual kepada peniaga-peniaga Cina yang ramai tidak punya rumah dan tinggal menyewa di rumah-rumah kedai tempat mereka menjalankan perniagaan. YB Muhd Yusuf bersetuju dengan tindakan syarikat Encik Muhammad yang hendak membuka kawasan lombong di wilayah tersebut untuk membantu masyarakat desa memiliki rumah dan tanah yang agak luas.
NILAI JATI DIRI : SIKAP TELUS YANG BERHORMAT MUHD YUSUF.
 YB Muhd Yusuf ahli politik yang jujur. Sebagai wakil rakyat, beliau berunding dengan pegawai FELDA untuk memberi penempatan dan tanah kepada para penduduk kampung Pulai yang bakal dipindahkan nanti. Sifat jujurnya dan ingin membantu rakyat miskin untuk membela orang Melayu miskin di kawasan yang diwakilinya supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa. Beliau mempunyai hubungan baik dengan ahli perniagaan kerana mereka mempunyai modal untuk melabur agar mampu membangunkan kawasan yang diwakilinya . Beliau menjalinkan hubungan dengan Tauke Chan yang akan membangunkan kawasan perumahan kos rendah, tetapi ada beberapa syarat dari Tauke Chan yang tidak menguntungkan penduduk. Oleh itu, beliau menerima tawaran Encik Muhammad yang dilihatnya lebih memberi keuntungan kepada rakyat. Persetujuan YB Muhd Yusuf menerima tawaran syarikat Encik Muhammad untuk membawa pelaburan dalam perlombongan bijih timah di kampung itu bukanlah untuk kepentingan peribadi, tetapi beliau meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya. Itulah matlamat pembangunan yang ingin dibawa oleh YB Muhd Yusuf, yang perlu generasi  jadikan contoh pemimpin yang telus dan tidak berkepentingan peribadi.